Berapakah anak yang boleh kita miliki? Cuma seorangkah? Atau kita dibenarkan untuk memiliki anak selagi mampu walaupun sedozen? Di China telah terkenal satu polisi untuk memiliki hanya seorang anak sahaja, disebut sebagai jìhuà shēngyù zhèngcè. Justeru sungguh beruntung orang Cina di Malaysia kerana mereka tidak dihalang untuk memiliki anak melebihi seorang. Silakan untuk beranak pinak, cuma jangan beranak di bawah jambatan lalu dibuang ke tong sampah, seperti banyak dilakukan oleh para remaja yang terlanjur.
Malah sungguh beruntung seluruh umat manusia terutama sekali penganut Kristian kerana tidak pernah keluar sebuah dikrit dari Kerajaan Malaysia untuk membunuh setiap anak lelaki seperti yang berlaku di Mesir pada zaman Fir’aun dan juga di masa pemerintahan Raja Herodes di Bethlehem. Sebaliknya Klinik Ibu Dan Anak diwujudkan, Wad Padriatik ditubuhkan, serta perkhidmakan bidan turut disediakan oleh kerajaan.
Fikir sejenak. Gunakan akal yang waras dan pertimbangan yang dibuat atas dasar iman dan keadilan. Cuba kita keluar membawa kereta pada waktu siang lalu melepasi sekatan jalan yang dibuat oleh pasukan polis. Jika kita telah mengikut segala peraturan maka kita akan tenang tenteram dan kemudian setelah polis melihat cukai jalan dan juga lesen memandu yang sah, kita akan dilepaskan. Alhamdulillah pasukan polis ingin memastikan keamanan negara terjamin.
Betapa beruntungnya kita kerana pasukan polis kita bukanlah seperti pasukan polis sesetengah negara. Seorang bekas pengurus bank dari Malaysia di Burma pernah menceritakan kisah tahun 80-an bagaimana pasukan polis meminta wang kepada para pemandu kereta atas kesalahan ‘tidak memasang lampu’ pada siang bolong. Keesokannya pula sekali lagi mereka ditahan dan diminta wang kerana kesalahan ‘memasang lampu pada siang hari’. Lucu tapi benar.
Penindasan seperti ini terus berlaku sampai hari ini. Malah ada rakaman video dimuat naik dalam internet menunjukkan bagaimana pasukan polis negara tersebut mengambil rasuah terhadap setiap bas yang lebih muatan.
Sebaliknya yang terlibat dalam rasuah di negara kita, berkaitan dengan pesalah lalu lintas sahaja. Pengguna jalanraya yang mengikut peraturan tidak pernah terlibat dengan gejala ini. Justeru bermakna perasuah atau yang meminta rasuah memang terdiri dari jiwa yang kotor dan bersalah. Sudah melakukan kesalahan merasuah pula agar terlepas dari hukuman.
Pihak polis tidak pernah menahan kita secara tanpa asas dan semberono, atau memecah masuk rumah kita tanpa ada waran dan sebab yang kuat. Malah kita boleh bertanya kepada jiran tetangga kita, siapakah yang pernah keluar ke kedai lalu ditangkap tanpa sebab, atau rumah mereka diceroboh pihak polis? Pasti kita tidak akan dapati seorangpun yang pernah dianiaya.
Begitu juga apabila kita sakit atau isteri kita ingin bersalin, lalu kita bawa ke hospital kerajaan, apakah kita perlu merasuah para doktor atau jururawat seperti yang berlaku di Bangladesh sampai hari ini? Seorang pelajar Sarjana Universiti Kebangsaan Malaysia dari Bangladesh pernah bercerita bagaimana rakyat Bangladesh hanya akan pergi ke hospital apabila mereka sakit melebihi tujuh hari atau tenat.
Stesen TV kerajaan Qatar, Al Jazeera pernah membuat liputan kisah Aklima, seorang ‘cleaner’ yang mengidap sakit jantung di Dhaka Medical College Hospital terpaksa merasuah para doktor dan kakitangan hospital untuk mendapatkan rawatan, termasuk untuk melakukan ujian darah.
Jauh sekali keadaan Bangladesh dan Malaysia, ibarat langit dengan bumi. Di Malaysia telah ada klinik di setiap daerah dan juga Klinik 1Malaysia untuk golongan kurang berada. Jika ada masa dan terserempak dengan rakyat Bangladesh yang mencari sesuap nasi di Malaysia, tanyakan sahaja apakah mereka bersyukur dapat tinggal di negara ini? Dan apakah mereka dizalimi dan ditindas semasa tinggal di Malaysia seperti di negara mereka? Lalu dengarkanlah apa yang mereka akan katakan.
Dimanakah Kerajaan Zalim?
Lucu atau tidak ketika ada manusia yang menjawat jawatan yang tinggi, gaji yang lumayan, berkereta mewah, rumah yang besar, duit di dalam akaun banknya tidak pernah diambil sesuka hati, dan dalam keadaan perut tak pernah kelaparan tetapi melaungkan slogan kerajaan zalim, kerajaan korup dan kerajaan itu dan ini.
Apakah dikatakan kerajaan itu zalim apabila tander yang kita pohon ditolak? Dikatakan adil apabila tender yang kita pohon wajib diterima? Ketahuilah bahawa zalim apabila harta kita dirampas tetapi harta milik kerajaan adalah menjadi hak kerajaan untuk diserahkan kepada sesiapapun. Ambil contoh Asri (nama samaran) membuka tender untuk membuat rumahnya yang baharu, lalu dia menerima lima sebutharga.
Kemudian dia memilih syarikat pembinaan yang dia kenal kerana beberapa faktor, antaranya pemilik syarikat tersebut tidak pernah mencela dan melaknat Asri malah tidak pernah berdoa agar perut Asri pecah. Ini adalah tabiat normal manusia, dia suka untuk memberikan hadiah atau pertolongan kepada orang yang berbuat baik kepadanya.
Justeru apakah Asri telah menjadi manusia zalim apabila menolak empat sebutharga yang lain? Pasti tidak! Kerana Asri tidak pernah mengambil harta keempat-empat syarikat tersebut. Hanya manusia yang memiliki jiwa kotor serta penuh tabiat pembangkangan sahaja akan mengatakan Asri telah menzalimi empat syarikat tersebut.
Apakah setiap sebutharga yang dihantar kepada kejaraan Negeri Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang, misalkan ada 20 sebutharga, maka mereka memberikan projek tersebut kepada kesemua pemohon tersebut? Walhal ini tidak pernah mereka lakukan. Justeru mereka juga adalah ‘zalim’ kalau difahami berdasarkan pemahaman pembangkang.
Begitu juga rungutan para pembeli tentang harga barang yang sentiasa naik. Apakah mereka mahu memiliki barang semurah di China, walhal minyak masak dari longkang diambil dan disaring kembali. Tepung susu dicampur dengan bahan kimia berbahaya yang mengancam nyawa. Kasut baru dipakai seminggu sudah tercabut dan lekang akibat gam yang tidak tahan dek air. Malah gaji buruh di sana jauh lebih murah dari gaji para pekerja di negara kita.
Menariknya, pembangkang tidak pernah membangunkan sebuah rangkaian pasaraya yang menawarkan harga rendah, menurunkan harga pasaran global, meningkatkan gaji para pekerja. Tong serbuk MILO terus beredar dalam setiap kali ceramah pembangkang. Pelajar Tadika PASTI, mahasiswa di INSANIYAH dan UNISEL terus dikenakan yuran pengajian walaupun melaungkan pendidikan percuma. Malah Kerajaan Kelantan hanya mampu mendirikan 3 buah masjid selama memerintah 21 tahun.
Justeru ketika mereka berbicara tentang ekonomi, atau janji-janji mulus untuk mendapat elektrik percuma, air percuma, pendidikan percuma; adalah seperti janji Dajjal Al Masih kepada manusia di akhir zaman. Manusia yang jahil dan tidak berilmu akan ditipu, sementara manusia yang memerhati dan mentelaah keadaan dengan iman dan kebenaran, mereka akan terselamat dari pendustaan sang pendusta, walau para mubaligh syaitan memakai jubah dan semutar di kepala.
Morfologi Ekonomi Dan Hakikat Zalim
Begitulah banyak orang menyangka bahawa harga cili kering ditentukan secara mutlak oleh kerajaan. Walhal untuk menghasilkan sebiji cili kering sahaja, ia perlu melalui sebuah kitaran ekonomi (morfologi). Dari benih disemai kemudian di tanam di ladang, sistem saliran dan pengairan, masalah pekerja ladang, baja, pengeringan, pembungkusan, pemasaran dan penghantaran. Semua tahap ini memerlukan kos, bukan air liur atau cakap kosong. Sebuah tin MILO kosong yang beredar di ceramah PAS tidak mampu untuk menghasilkan sebiji cili kering.
Tanyakan kepada para peniaga bumiputra atau peniaga cina, apakah Nasi Ayam Hainan atau Bak Kut Teh yang mereka jual, dibayar oleh pelanggan dengan harga separuh, dimana separuh lagi diambil oleh kerajaan? Hakikatnya mereka menerima wang dari pelanggan dengan harga yang mereka tawarkan tanpa kurang walaupun satu sen.
Tetapi mengikut Al Qur’an sebagaimana Luqman berkata kepada anaknya “Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang paling besar” (Luqman ayat 13). Sehinggakan Rasulullah saw mengutus perintah kepada Ali tatkala beliau berjaya membuka Thaif, agar Ali memusnahkan berhala dan meratakan kuburan seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hayyaj.
Menyebabkan para ulama Ahli Sunnah antaranya Ibn Qayyim menetapkan bahawa pekerjaan utama ketika sebuah kerajaan Islam berkuasa adalah menghapuskan tempat-tempat kesyirikan walaupun hayat kerajaan tersebut cuma sehari. Bukan memusnahkan tempat pelacuran atau kemaksiatan, tetapi dibiarkan patung berhala yang disembah tertegak megah seperti di Kelantan.
Begitu juga kezaliman yang paling besar adalah membiarkan ajarah kufur Syiah Rafidah menyebar di dalam PAS, walhal agama Syiah Rafidah ini telah mengkafirkan para sahabat terutama sekali Ummul Mu’minin A’isyah dan perawi hadis Abu bakar, Umar dan Abu Hurairah. Serta mereka mengatakan bahawa Al Qur’an yang ada ditangan kita telah diciplak dan dirubah, serta Allah Ta’ala tersilap menghantar wahyu. Lalu mereka menghalalkan darah dan harta serta kehormatan kaum Sunni, sepertimana yang sedang dilakukan oleh Basyar Asad. Ironinya Mat Sabu membela mati-matian si Syiah Rafidah yang kufur ini. Bukankah ini sebuah kezaliman yang terang seperti mentari? Tetapi bagi pembangkang, semua ini tidak zalim, yang zalim adalah kerajaan!kerajaan! dan kerajaan ! Ironinya.
Allah katakan bahawa orang kafir itulah zalim. Justeru sangat pelik PAS yang menentang kezaliman berpelukan dengan kaum kafir yang menentang keras hukum Islam. Hakikatnya, tidak ada dari rakyat Malaysia yang dizalimi, mereka tidak pernah dipaksa untuk berbuat jahat, perniagaan mereka dibantu, malah kita bebas untuk bergerak dan rasa aman saat keluar rumah. Kata‘zalim’ yang dibangkitkan oleh kaum pembangkang, adalah persepsi jahat sepertimana pendahulu mereka iaitu kaum Khawarij telah ciptakaan di zaman Saidina Ali. Khawarij itu adalah anjing neraka kata Nabi. Mereka tidak akan berhenti menyalak sehinggalah Dajjal menjelma.
SUMBER : Setiausaha 1 Ilmuan Malaysia(iLMU), Pengkaji Perbandingan Agama, Mazhab, Falsafah dan Tamadun
No comments:
Post a Comment